Sambutan perayaan di sekolah dilihat bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid untuk mengenali kepelbagaian budaya, malah memupuk semangat bekerjasama dalam menjayakan aktiviti bersama. Usaha sedemikian turut memupuk kesejahteraan dalam kalangan murid berbilang kaum. Selain murid-murid mengenali pelbagai budaya masyarakat, sambutan perayaan yang diadakan di sekolah turut meningkatkan kesefahaman murid untuk lebih erat. Melalui program sebegini, murid-murid juga memperolehi ruang untuk mengendalikan majlis yang dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain.
Sumber: Internet
Soalan
Petikan di atas menyatakan maklumat yang berkaitan dengan sambutan hari perayaan di sekolah dan manfaat yang diperoleh daripada program sambutan hari perayaan di sekolah. Sebagai pengarang majalah sekolah, anda diminta untuk menulis laporan tentang pelaksanaan program tersebut.
Jawapan
📚Join Whatsapp Channel Info Pelajar untuk lebih bahan rujukan belajar.
Laporan tentang Pelaksanaan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia
Profesor Atan Long, iaitu tokoh pendidikan negara yang terkenal suatu ketika dahulu menyatakan bahawa sekolah ialah tempat mengubah tingkah laku manusia ke arah yang dikehendaki. Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai program dilaksanakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa. Dengan perkataan lain, program sekolah tidak terhad kepada akademik semata-mata, tetapi juga aktiviti lain yang difikirkan berfaedah kepada murid. Bersempena dengan musim perayaan, semua sekolah telah mengadakan program sambutan hari raya. Sekolah saya, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia juga telah mengadakan majlis tersebut pada 5 Julai yang lalu di dewan sekolah.
Majlis tersebut diadakan dengan tujuan untuk menyediakan ruang dan peluang kepada semua murid, guru, dan kakitangan sekolah yang berbilang kaum untuk menyambut hari raya bersama-sama. Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga sekolah dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum. Semua yang hadir disarankan memakai pakaian tradisional seperti baju Melayu, baju kurung, sari, dan ceongsam bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.
Sebelum majlis berlangsung, pihak sekolah telah membentuk jawatankuasa pelaksana bagi memastikan segala persiapan berjalan dengan lancar. Jawatankuasa ini telah mengagihkan tugas kepada semua ahli yang terlibat termasuk guru dan murid. Antara tugas utama jawatankuasa adalah menyediakan tempat, menyediakan makanan, dan mengatur acara yang akan berlangsung sepanjang majlis tersebut. Murid-murid turut membantu menyediakan hidangan seperti kuih-muih tradisional dan masakan tempatan, yang bertujuan menanamkan sikap bekerjasama dalam diri murid-murid.
Majlis bermula pada pukul 10.00 pagi dengan ucapan perasmian daripada Pengetua Sekolah, Tuan Haji Mohd Amin. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan murid dan warga sekolah. Selepas itu, murid-murid dijemput untuk menikmati juadah yang disediakan. Suasana majlis menjadi lebih meriah apabila semua yang hadir saling bermaafan dan menikmati hidangan bersama-sama. Antara hidangan yang disediakan termasuklah lemang, ketupat, rendang, dan kuih-muih tradisional.
Majlis berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Setelah selesai majlis, semua murid diminta untuk membersihkan kawasan dewan dan kelas masing-masing sebagai tanda tanggungjawab. Majlis ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah serta menyemarakkan semangat perpaduan.
Disediakan oleh,
Rashidi
(RASHIDI BIN ABDULLAH)
Pengarang Majalah “Setia”,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia.
karangan lain: