Biasiswa Program Khas Jepun, Korea, Perancis, dan Jerman (JKPJ) Tahun 2023 Lepasan SPM

Permohonan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Program Khas Jepun, Korea, Perancis, dan Jerman (JKPJ) Tahun 2023. Program penajaan ini terbuka kepada pelajar yang berminat dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (S&T), dan Sains Sosial di negara Jepun, Korea, Perancis, dan Jerman. Pelajar akan ditaja untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di negara yang berkenaan.

Penajaan dan Terma Ikatan Perjanjian JPA

Penajaan program ini diberikan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dan tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:

  • Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
  • Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
  • Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Struktur Pengajian Program Khas JKPJ

Berikut adalah struktur pengajian bagi Program Khas JKPJ:

Program Kejuruteraan Teknikal Jepun

  • Kursus persediaan selama 24 bulan di INTEC Education College, Shah Alam.
  • Pengajian Kejuruteraan peringkat Diploma selama tiga tahun di Colleges of Technology (KOSEN) di Jepun.
  • Peluang melanjutkan pengajian Ijazah Pertama di Jepun selama dua tahun jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPA.

Program Khas Korea

  • Program persediaan selama sembilan bulan di INTEC Education College, Shah Alam.
  • Pengajian persediaan Sijil Bahasa selama 12 bulan di Seoul National University – Language Education Institute (SNU-LEI), Korea.
  • Peluang pengajian Ijazah Pertama selama empat tahun atau Diploma selama dua tahun diikuti dengan Ijazah Pertama selama dua tahun, bergantung kepada prestasi pelajar dan keputusan Had Kecemerlangan Akademik (HKA) yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Program Khas Perancis

  • Kursus persediaan di INTEC Education College (bidang Kejuruteraan) atau di Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute (UniKL-MFI) (bidang Sains Sosial).
  • Pengajian persediaan di Perancis selama dua bulan di Institut Universitaire deTechnologie (IUT) yang ditetapkan.
  • Peluang pengajian Ijazah Pertama selama lima tahun di universiti-universiti terkemuka di Perancis (Grand Ecole) atau di IUT, bergantung kepada prestasi pelajar semasa kursus persediaan.

Program Khas Jerman

  • Kursus persediaan di INTEC Education College atau Sunway College.
  • Pengajian persediaan bahasa di Institut Für Internationale Kommunikation (IIK) atau Carl Duisberg Centren (CDC), Jerman.
  • Pengajian Ijazah Pertama selama tiga tahun di IPT di Jerman bagi bidang Kejuruteraan dan S&T, dengan peluang melanjutkan pengajian peringkat Master selama dua tahun.

Syarat Permohonan

Calon mestilah memenuhi syarat-syarat permohonan yang terdiri daripada syarat umum dan syarat khusus mengikut bidang yang ditetapkan.

Syarat Umum

  • Warganegara Malaysia.
  • Kesihatan yang baik.
  • Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
  • Menduduki peperiksaan SPM 2022 buat pertama kali di mana-mana sekolah menengah atau calon-calon persendirian.
  • Umur belum mencapai 19 tahun (atau belum mencapai 20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM.
  • Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat pengajian yang sama.

Syarat Khusus

Syarat khusus berkaitan dengan gred minimum yang perlu dicapai dalam mata pelajaran tertentu bagi setiap bidang dan negara yang ditawarkan.Seperti jadual di bawah.

Permohonan

Permohonan dibuka secara dalam talian (online) melalui laman web http://esilav2.jpa.gov.my/ mulai 12 Jun 2023 hingga 16 Jun 2023. Calon boleh merujuk kepada Frequently Asked Questions (FAQ) yang disediakan di Portal JPA untuk maklumat lanjut berhubung program ini. Sebarang pertanyaan atau masalah teknikal boleh diajukan melalui talian call center JPA atau e-mel yang disediakan.

Student Assessment Centre (SAC)

Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri Student Assessment Centre (SAC). SAC bertujuan untuk menyediakan profil interpersonal pelajar dan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja oleh JPA. Tarikh dan maklumat lanjut mengenai SAC akan diberikan kepada calon yang disenarai pendek.

Tarikh-Tarikh Penting

Berikut adalah beberapa tarikh penting yang perlu diambil perhatian:

  • Permohonan dibuka: 12 Jun 2023 (Isnin) | 12.00 tengah hari
  • Permohonan ditutup: 16 Jun 2023 (Jumaat) | 11.59 malam
  • Pengisian Ujian Psikometrik: 12 Jun 2023 (Isnin) | 12.00 tengah hari – 16 Jun 2023 (Jumaat) | 11.59 malam
  • Semakan Panggilan SAC: 4 Julai 2023 (Selasa) | 12.00 tengah hari – 9 Julai 2023 (Ahad) | 11.59 malam
  • Tempoh SAC: 10 Julai 2023 (Isnin) – 14 Julai 2023 (Jumaat)
  • Jangkaan Keputusan: 4 Ogos 2023 (Jumaat) | 12.00 tengah hari

Hak Kerajaan

  • Pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada peruntukan yang ada dan perubahan dasar Kerajaan.
  • JPA berhak membuat perubahan kepada program penajaan ini pada bila-bila masa termasuk syarat dan kriteria tanpa perlu memberikan notis pemberitahuan terlebih dahulu.
  • JPA berhak menarik balik tawaran penajaan sekiranya perlu tanpa memberikan notis terlebih dahulu.
About the author

Seorang enthusiast di dalam hal berkaitan pendidikan.

Leave a Comment